Menurut Hj.Mohd.Zain B Abg. Ismail (Setiausaha Agung PKMS
2012-2015) hasil daripada temuduga,Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)
ditubuhkan pada 13 Oktober 1939 semasa zaman Sir Charles Vyner Brooke. Pada
asalnya persatuan ini telah dinamakan sebagai Persatuan Melayu Sarawak PMS dan
setelah perang Dunia ke-2 tamat persatuan ini, dinamakan Persatuan Kebangsaan
Melayu Sarawak (PKMS). Pengasas pertubuhan tersebut adalah Datuk Patinggi Hj.
Abdillah bin Datuk Bandar Kassim yang dilantik sebagai penaung kepada persatuan
tersebut pada tahun 1939-1946. Yang Dipertua pertama ialah Datuk Amar Abang
Sulaiman bin Abang Taha Shahdan.
Manakala, Tuan Hj. Abdul Rahman bin Hj. Kassim dilantik sebagai Naib Yang
Dipertua pada masa tersebut. Ekoran daripada itu, Yang Dipertua PKMS telah
silih bertukar ganti mengikut peredaran masa sehingga sekarang. YDP sekarang
telah disandang oleh Dr. Mohd. Abas Bin Hj. Abang yang merupakan YDP ke-8 yang
mula menjalankan tugas dari tahun 2009 sehinggalah sekarang 2012.Persatuan ini
merupakan salah satu badan bukan
kerajaan (NGO) yang tertua di Malaysia. Persatuan ini lebih tua daripada Parti
politik Umno yang telah ditubuhkan pada tahun 1946. Majoriti ahli-ahli yang terdapat
dalam persatuan ini adalah terdiri daripada kaum Melayu. Di Sarawak, persatuan
ini telah mempunyai beberapa cawangan kecil iaitu Cawangan PKMS Petrajaya, Kuching,
Betong, Samarahan, Miri dan sebagainya. Cawangan tersebut juga, merupakan
cawangan yang paling aktif sehingga sekarang. Mengikut setiausaha agung
menyatakan bahawa seramai 7000 orang ahli telah menyertai persatuan ini, yang
mana ianya terdiri daripada kaum Melayu asli serta Melayu Melanau. Namun,
ahli-ahli yang betul-betul aktif adalah hanya hamper 500 orang. Pada 10 oktober
1939 persatuan ini telah diluluskan sepenuhnya oleh kerajaan secara rasminya.Persatuan
ini telah menyertai beberapa demokrasi awam di sekitar Kuching bagi membantah
penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British. PKMS menentang penyerahan Sarawak
kepada kerajaan British yang pada masa
tersebut telah ditadbir oleh Sir Charles Vyner Brooke. Persatuan ini menjadi
badan pergerakkan utama Anti-Cession di Kuching dan merupakan platform orang
Melayu dalam menyatakan pandangan, usul, masalah dan sebagainya. Sebelum
penubuhan Malaysia, skop perjuangan persatuan ini adalah lebih menekankan
kepada sosio ekonomi dan setelah tertubuhnya Malaysia, persatuan ini lebih
cenderung kepada sosiopolitik. Persatuan ini juga telah dihadapkan ke mahkamah
dalam perbicaraan kes percanggahan yang mana dikatakan terdapatnya dua
penubuhan PKMS yang berasingan. Mereka menang dalam perbicaraan tersebut.
Menurut setiausaha agung PKMS, Mohd. Zain bin Abang Ismail pernah wujudnya
tempoh hubungan dingin antara PKMS dengan kerajaan negeri Sarawak. Hal ini
kerana pernah beberapa orang tokoh dalam PKMS telah menyertai Tun Rahman Yaakub
menentang Tan Sri Abdul Taib Mahmud di awal pemerintahannya. Antara beberapa
nama dari PKMS yang disebut menyertai Tun Rahman Yaakub ialah Datuk Hj Wan
Yusof yang merupakan YDP ke-7 Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) ketika
itu.
PKMS
juga merupakan organisasi bukan politik yang mana ianya tiada kaitan dengan
parti-parti politik yang ada sehingga sekarang, seperti UMNO,PBB,PKR,PAS dan
sebagainya. Ideologi persatuan ini adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu
yang berteraskan kemajuan diri (Self improvement) dan bukanya memupuk semangat
permusuhan antara kaum. PKMS ini juga memperjuangkan agama islam yang juga
prioriti utama dalam masyarakat Melayu sehingga kini di samping, memupuk
semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Semangat nasionalisme dalam
PKMS ini tidak akan mengatasi kepentingan dalam menegakkan syiar islam.
Sepanjang penubuhan PKMS ini objektif perjuangan dan penubuhan mereka adalah
sentiasa berubah mengikut kerelevan keadaan semasa. Hal ini adalah bagi
memastikan bahawa PKMS sentiasa mendapat sokongan daripada Masyarakat melayu
khususnya negeri Sarawak.Berikut merupakan tujuan serta objektif penubuhan persatuan tersebut pada
masa ini:-
Tujuan
penubuhan :
* Menganjurkan agar orang melayu bekerja
keras membantu sesama sendiri membuka perniagaan dengan mengadakan perkongsian.
* Menyedarkan
orang melayu supaya memelihara hak-hak mereka.
* Memupuk
semangat kesedaran dan perpaduan dalam masyarakat Melayu.
* Mengelakkan daripada masyarakat Melayu
berpecah sesama sendiri serta menyatupadukan kaum Melayu khususnya di negeri
Sarawak.
Penubuhan Persatuan
Kebangsaan Melayu Sarawak semasa pemerintahan oleh Charles vyner Brooke.
Penubuhan
PKMS ini, pada mulanya mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuklah
kerajaan Brooke sendiri pada tahun 1946. Penentangan itu berlaku disebabkan
persatuan ini telah melakukan demonstrasi di sekitar kuching yang berkaitan
dengan Anti-Cession. Pihak Charles Vyner Brooke terpaksa menyerahkan Sarawak kepada
kerajaan British pada 8 februari 1946, setelah didesak oleh kerajaan British
pada masa itu.
Faktor
yang mendorong persatuan ini menentang penyerahan Sarawak kepada kerajaan
British adalah kerana orang melayu tidak dibenarkan campur tangan dalam hal-hal
yang berkaitan pentadbiran negeri Sarawak di samping Charles Vyner Brooke juga,
membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan pemimpin-pemimpin melayu dan
pemimpin kaum lain. Hal tersebut telah menyebabkan orang Melayu marah terhadap
Charles Vyner Brooke. Ekoran daripada itu, pihak Charles Vyner Brooke bersama
kerajaan British telah mempergiatkan usaha untuk memecahbelahkan perpaduan
antara orang melayu dengan kaum lain seperti dayak,iban,melanau dan sebagainya.
Usaha tersebut telah mendorong Charles Vyner Brooke dan kerajaan British
meluluskan penubuhan Persatuan Melayu Muda “Young Malay Association” YMA bagi
golongan muda. Persatuan ini lebih berpihak kepada Charles Vyner Brooke. Perkara
yang mendorong penubuhan persatuan tersebut ialah ianya menyokong penyerahan
Sarawak kepada British. Hal ini menjadikan platform Charles Vyner Brooke untuk
mkenyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.
Selain
itu,setelah kerajaan British berkuasa dan menjalankan pemerintahan di Sarawak,
mereka telah memburukkan pejuangan gerakan anti penyerahan Sarawak. Mereka
menuduh perjuangan PKMS hanya untuk orang melayu Sarawak sahaja. Rentetan
tentangan hebat daripada kerajaan British, PKMS ini mula menjadi lemah. British
terus kekal berkuasa dan Sarawak menjadi tanah jajahan Sehingga tahun
1963.Walaubagaimana pun perjuangan mereka dapat diteruskan sehingga sekarang
dan PKMS ini masih berdiri teguh di
samping pemimpin-pemimpin yang silih bertukar ganti sehinggalah kini.
Peranan dan Isu Semasa
Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak pada masa kini.
Dalam usaha untuk membantu kearah pertumbuhan ekonomi dan
demi menjaga kebajikan masyarakat Melayu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Melayu
Sarawak (PKMS) telah memohon geran daripada kerajaan negeri bagi membina
kompleks serbaguna yang baru. Pembinaan kompleks serbaguna ini dijangka dapat
membantu golongan wanita menjalankan perusahaan kecil dan sederhana. Selain
itu, pembinaan kompleks ini juga dapat membantu menyediakan kemudahan awam
untuk orang ramai menjalankan aktiviti-aktiviti seperti majlis perkahwinan,
kelas-kelas tambahan dan kelas fardhu ain.
Rancangan pembinaan kompleks ini telah timbul setelah
persatuan ini melihat berlaku masalah atau kekurangan kawasan untuk orang
Melayu menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri kahwin, majlis
keramaian, dan aktiviti keagamaan.Oleh itu, PKMS melihat terdapat keperluan dan
kepentingan pembinaan kompleks tersebut untuk memudahkan aktiviti
kemasyarakatan dijalankan. Tambahan lagi, PKMS mempunyai tanah yang dikatakan
berusia 800 tahun dan seluas 1.06 ekar yang tidak digunakan.
Menurut Mohd Zain
lagi ketika ditemubual berhubung dengan pembinaan kompleks ini, pada awal
rancangan pembinaan kompleks serbaguna ini, mereka terus memohon kebenaran
daripada kerajaan pusat tanpa melalui kerajaan negeri. Hal ini disebabkan PKMS
khuatir pihak kerajaan negeri masih lagi mempunyai pandangan negatif stereotype
terhadap persatuan ini lantaran sejarah lama persatuan ini yang memiliki
hubungan yang kurang baik dengan kerajaan negeri Sarawak. Walaupun hubungan
antara pihak PKMS dan kerajaan negeri dilihat semakin baik, namun bimbang akan
impak oleh hubungan lama yang dingin itu, akan menjejaskan proses pembinaan
kompleks tersebut. Pihak PKMS mahu membuat permohonan terhadap kompleks itu
terus kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat tanpa melalui kerajaan negeri
Sarawak.
Selain itu, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)
juga sering menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bukan sahaja
untuk penyertaan kaum Melayu tetapi melibatkan pelbagai kaum dan etnik. Hal ini
adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh PKMS untuk merapatkan hubungan
antara kaum. Antara aktiviti yang dianjurkan oleh PKMS adalah pertandingan
futsal, gotong-royong dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini juga dapat
mendekatkan PKMS dengan golongan muda.
Masalah ahli-ahli
tidak aktif ini bukan sahaja melibatkan PKMS cawangan Petrajaya tetapi
melibatkan semua cawangan PKMS di seluruh negeri. Masalah ahli-ahli yang tidak
aktif ini menimbulkan kerisauan kepada pemimpin-pemimpin PKMS kerana apabila
ahli-ahli tidak aktif dalam persatuan, suara-suara mereka sukar untuk didengari
apabila menghadapi sesuatu masalah.
Masalah ahli-ahli persatuan yang tidak aktif ini bukan
sahaja memudaratkan ahli-ahli tersebut bahkan turut menjejaskan persatuan itu
sendiri. Menurut Mohd Zain Abang Ismail, setiausaha agung PKMS, terdapat 12
cawangan PKMS di seluruh negeri Sarawak tetapi terdapat beberapa cawangan PKMS
yang sudah tidak lagi beroperasi walaupun masih mempunyai lesen yang sah kerana
ramai ahli-ahli persatuan yang tidak aktif dan mereka lebih menumpukan kepada
hal-hal lain seperti perniagaan persendirian. Hal ini menyebabkan berlaku
kesukaran untuk persatuan ini membela nasib orang Melayu di Sarawak terutamanya
di cawangan-cawangan yang sudah tidak beroperasi lagi.
Pemimpin-pemimpin
tertinggi PKMS melihat isu ini adalah salah satu masalah yang serius yang perlu
ditangani dengan segera. Menurut Jaya Bujang Boji Satim, Pengerusi PKMS
Petrajaya, “...PKMS Petrajaya sedang berusaha untuk mengaktifkan semula persatuan
dan ahli agar bangsa Melayu dapat disatukan menjadi bangsa yang berdaulat serta
contoh kepada bangsa lain” (The Borneo Post, 18/11/2012). Sekiranya masalah ini
berterusan dan bilangan ahli aktif semakin berkurangan, PKMS tidak lagi dapat
berfungsi sebagai platform untuk mendengar dan menyuarakan masalah-masalah
orang Melayu. Bahkan, sekiranya masalah ini menjadi lebih serius pada masa akan
datang, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak yang selama ini memperjuangkan hak
dan masalah orang Melayu dan merupakan NGO tertua di Malaysia mungkin terpaksa
dibubarkan. Oleh itu, masyarakat Melayu Sarawak secara umumnya dan ahli-ahli
persatuan khasnya perlu sedar tentang kepentingan PKMS ini. Mereka juga perlu
sedar bahawa suara atau masalah mereka sukar untuk didengari sekiranya mereka
bergerak bersendirian tanpa persatuan.
Pandangan, masalah, dan
cadangan penambahbaikkan kumpulan
terhadap Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
Secara umumnya apa
yang dapat kami simpulkan hasil daripada kajian dan perbincangan yang kami
jalankan secara mendalam berkenaan dengan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
(PKMS), adalah persatuan ini merupakan
sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang sangat komited dalam membangunkan dan
menjaga kebajikan masyarakat Melayu di Sarawak. Pelbagai projek yang
berteraskan kemasyarakatan dan pembangunan masyarakat Melayu khususnya di
negeri Sarawak telah dijalankan oleh PKMS seperti bengkel pelajar untuk UPSR,
pertandingan futsal dan pertandingan nasyid.
Selain itu, PKMS juga dapat dilihat
merupakan sebuah persatuan NGO’s yang sentiasa berusaha bersikap mandiri dan
tidak mengharapkan bantuan daripada pihak lain. Hal ini terbukti dengan fakta
bahawa sepanjang penubuhannya sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO’s), PKMS
tidak pernah menerima walau satu sen pun bantuan kewangan sama ada daripada
kerajaan negeri waima kerajaan persekutuan. Tindakan ini bukanlah bermakna PKMS bersikap angkuh atau sombong,
akan tetapi hal ini bertujuan bagi memastikan
kedudukan neutral PKMS dalam politik tempatan dan PKMS juga tidak mahu tindakan mereka yang
menerima bantuan daripada mana-mana pihak akan menyebabkan mereka terhutang budi dan seterusnya menjadi
terikat dengan mana-mana pihak yang memberikan bantuan tersebut, yang
seterusnya mengharapkan PKMS membalas
pula jasa yang telah mereka berikan. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa PKMS
juga sebuah NGO’s yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan mereka sebagai
sebuah badan bukan kerajaan.
Disamping itu, PKMS juga sedar akan status mereka sebagai
sebuah badan bukan kerajaan (NGO’s) yang berpegang teguh kepada prinsip untuk
berkhidmat tanpa mencari keuntungan dan kekayaan akan memerlukan mereka untuk
bersedia mengorbankan masa, harta dan tenaga dalam memastikan matlamat mereka
untuk membantu dan menjaga kebajikan masyarakat Melayu terlaksana. Dalam hal
ini, kami dapati kebanyakan ahli majlis tertinggi yang mengisi kedudukan atasan
parti melalui pemilihan yang diadakan pada baru-baru ini adalah terdiri
daripada golongan profesional seperti bekas pendidik dan doktor yang
sememangnya bersedia berkorban demi membantu
membangunkan masyarakat.
Hasil daripada temubual yang kami jalankan, kami juga dapati persatuan
ini memiliki masa hadapan yang cerah dalam memastikan kelangsungan dan
survivalnya sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang terutama di Sarawak
terpelihara. Menurut setiusaha agung
PKMS Hj Mohd. Zain bin Abang Ismail, pemilihan parti yang dijalankan pada
baru-baru ini juga berjaya memilih 40% muka-muka baru yang terdiri daripada
mereka yang berusia 40 tahun ke bawah yang boleh dikategorikan sebagai belia di
dalam ahli majlis tertingginya.
Perkembangan yang sihat ini bukan sahaja dapat memastikan PKMS memiliki
calon-calon pemimpin pelapis pada masa hadapan yang boleh dilatih untuk
mengambil alih tampuk pentadbiran PKMS bahkan ini juga menjadi satu indikator
bahawa golongan muda masyarakat Melayu masih melihat relevannya PKMS sebagai
platform untuk mereka menyuarakan pendapat dari akar umbi.
Persatuan
Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) juga mengambil sikap berkecuali dalam politik. Hal ini adalah jelas menerusi
kenyataan PKMS ketika ditemubual bahawa mereka sentiasa menyokong kerajaan yang
memerintah selagi mana kerajaan tersebut adalah sah dari segi undang-undang,
berusaha membela nasib rakyat dan menyumbang ke arah pembangunan masyarakat
Melayu terutamanya di Sarawak. Tambah Hj Mohd. Zain, setiausaha agung
PKMS, PKMS sentiasa menyokong dan
menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan
oleh kerajaan samada di peringkat Pusat mahupun di peringkat
negeri. PKMS menurut beliau tidak
menjauhkan diri dan menentang mana-mana pemerintah akan tetapi sebarang
tindakan PKMS berkaitan dengan dunia politik adalah dilakukan dengan penuh
berhati-hati dan menerusi penelitian
yang mendalam. Hal ini adalah demi menjamin sifat neutral dan berkecuali PKMS
dalam dunia politik agar sebarang tindakan yang dilakukan tidak dilihat
menyebelahi mana-mana pihak.
Kelemahan yang paling ketara bagi persatuan ini dapat dilihat dengan
masalah keaktifan ahlinya. Kebanyakan ahli PKMS yang telah berusia kini tidak
lagi aktif bersama PKMS dalam menjalankan aktiviti. Justeru,
hal ini mengakibatkan timbulnya persoalan sama ada bilangan ahli PKMS adalah
sama seperti yang dijangka iaitu 7000 orang. Masalah keaktifan ahli ini telah
mengakibatkan beberapa buah cawangan PKMS tidak dapat berfungsi dan dijalankan
dengan baik. Menurut Setiausaha Agung PKMS, Hj Mohd. Zain bin Abang Ismail
ketika ditemubual, cawangan-cawangan PKMS tersebut telahpun memiliki lesen
untuk menjalankan aktiviti persatuan, namun masalah ahlinya yang tidak aktif
walaupun berdaftar telah menyebabkan cawangan-cawangan tersebut gagal
beroperasi dengan baik.
Selain itu, kurangnya
pendedahan media tempatan terhadap aktiviti anjuran PKMS bersama masyarakat
setempat menjadi antara faktor utama kelemahan dalam publisiti yang dihadapi
persatuan ini. Hal ini mengakibatkan terdapatnya segelintir warga tempatan
khususnya masyarakat Melayu Sarawak yang tidak mengetahui kewujudan persatuan
ini. Ketika ingin melakukan temubual bersama PKMS, penemubual telah bertanyakan
lokasi bangunan utama PKMS kepada beberapa penduduk Melayu di sekitar
Waterfront, Kuching, namun, ramai di antara mereka menyatakan tidak mengetahui
lokasi sebenar bangunan utama PKMS, bahkan ada yang mengatakan tidak pernah
mendengar nama persatuan tersebut walhal PKMS telah bertapak di Sarawak selama
73 tahun. Hal ini amatlah perlu ditikberatkan oleh PKMS dalam memastikan
dirinya berjaya dalam menjaga kebajikan kaum Melayu Sarawak serta mampu menjadi
platform utama dalam menyuarakan suara masyarakat Melayu Sarawak dan seterusnya
menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang disegani dan dihormati di Sarawak
khususnya dan di Malaysia amnya.
Selain itu, kurangnya penulisan
bahan ilmiah seperti buku dan
jurnal yang berkaitan dengan persatuan ini oleh para sarjana dan ilmuan tempatan menimbulkan kesukaran bagi kami dalam
menjalankan kajian awal serta memperoleh rujukan dalam menyiapkan tugasan
berhubung persatuan ini. Sepanjang kami melakukan kajian terhadap
persatuan ini, kami dapati bahawa baru
sebuah buku sahaja yang diterbitkan berkenaan persatuan ini iaitu Perjuangan Anti Cession Sarawak: Peranan
Utama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak oleh Haji Mohd Hasbie
Sulaiman.. Justeru, dalam memperoleh
tambahan maklumat berkenaan persatuan ini, kami juga bergantung dengan
artikel-artikel suratkhabar tempatan Sarawak secara online yang mana ternyata amat terhad bilangannya. Kami juga amat
bergantung kepada temubual bersama setiausaha agung PKMS dalam mendapatkan
maklumat tambahan.
Kelemahan lain yang terdapat pada persatuan
ini adalah masalah kekurangan kakitangan yang mengelolakan bangunan utama
persatuan ini. Ketika kami melawat ke bangunan utama PKMS, apa yang kami dapati
hanya terdapat seorang sahaja kakitangan yang bertugas dan bertanggungjawab
mengelolakan pejabat PKMS pada hari tersebut. Masalah kekurangan kakitangan ini
berkemungkinan besar disebabkan oleh tugasan yang tidak bersepadanan dengan
jumlah kakitangan pejabat tersebut. Hal ini kerana apabila kakitangan terpaksa
melakukan banyak urusan luar yang memerlukan mereka ke cawangan atau aktiviti
lain telah mengakibatkan jumlah kakitangan yang tinggal di bangunan utama
adalah sedikit sekaligus menimbulkan kesukaran sekiranya terdapat lawatan
daripada pelbagai pihak atau urusan segera yang memerlukan kepada kecekapan
kakitangan untuk mengelolakannya. Bangunan utama persatuan ini juga menghadapi
kekurangan tempat meletak kenderaan. Kedudukan bangunan utamanya yang terletak
berhadapan dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), dan berkongsi dengan
pelbagai kedai makanan telah mengakibatkan
pelawat yang ingin melawat bangunan utama persatuan ini terpaksa
bersaing dengan pelajar dan pelanggan
kedai makan untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan.
Di samping itu, persatuan ini
juga dilihat banyak bergantung kepada sejarah mereka yang sebagai sebuah NGO
tertua di Malaysia. Persatuan ini juga
sangat berbangga dengan perjuangan
mereka yang menentang penyerahan Sarawak oleh Rajah Charles Vyner Brooke kepada
kerajaan British. Hal ini dapat dilihat apabila setiausaha agung kelihatan hanya bersedia dengan bahan-bahan
berkenaan perjuangan PKMS dalam anti penyerahan tersebut. Beliau juga kelihatan
agar terkejut dengan soalan yang kami
kemukakan kepada beliau. Perkara ini berkemungkinan besar adalah diakibatkan
dan disumbangkan oleh majoriti pengunjung dan
pelawat lebih banyak bertanyakan berkenaan dengan sejarah
anti-penyerahan tersebut. Dalam hal ini kami berpendapat berbangga dengan
sejarah lampau adalah baik namun janganlah sampai ia membantutkan usaha untuk
mencapai sesuatu yang lebih bermakna pada masa akan datang.
Dalam menangani
permasalahan dan kekurangan PKMS sebagai
sebuah badan bukan kerajaan NGO, PKMS
haruslah berusaha mengadaptasikan dirinya dengan peredaran zaman supaya ia
sentiasa dilihat relevan oleh generasi muda pada masa kini. Dalam hal ini,
penggunaan wadah dan medium teknologi moden seperti media sosial adalah amat digalakkan.
Penggunaan media sosial seperti facebook,
twitter, dan blog adalah amat berguna dalam membantu meningkatkan imej PKMS
dikalangan generasi muda Melayu di Sarawak yang semakin terdedah dengan
perkembangan teknologi ini. Selain itu, penggunaan media sosial ini juga dapat
menampung kekurangan yang ditinggalkan oleh media tempatan Sarawak dan Malaysia
dalam mempromosikan PKMS. Berdasarkan pengamatan kami, PKMS memiliki blog dan facebook akan tetapi ia jarang dikemaskini untuk memberikan
maklumat terkini kepada ahli PKMS. Justeru, dengan mengemaskini dan menaiktaraf
media sosial ini akan dapat memebantu mempromosikan dan memberikan publisiti
yang baik kepada PKMS dan seterusnya menarik minat keahlian daripada generasi
muda terutamanya pelajar sekolah.
Kumpulan kami
juga mencadangkan supaya PKMS berusaha mencari, merekodkan,menyusun dan
menerbitkan lebih banyak bahan ilmiah seperti buku, jurnal dan majalah berkaitan
PKMS sepanjang tempoh selepas kemerdekaan dan penyertaan Sarawak bersama Sabah dan Malaya membentuk
Malaysia. Melalui ini, PKMS boleh mengadakan kerjasama dengan institut pengajian tinggi seperti UNIMAS
dalam menghasilkan bahan-bahan ilmiah ini. Hal ini kerana institut pengajian
tinggi seperti UNIMAS memiliki tenaga profesional yang mahir dan pakar dalam
menghasilkan bahan ilmiah. Kerjasama boleh dilakukan dengan Jabatan Kajian
Politik dan Pemerintahan, Fakulti Sains Sosial yang telah banyak menghasilkan
karya dan bahan ilmiah seperti sejarah, pengaruh dan penglibatan PKMS dalam
pembangunan masyarakat Melayu atau politik di negeri Sarawak.
PKMS juga boleh meneruskan dan terus mengukuhkan hubungan baik yang
terjalin antara PKMS dengan kerajaan pusat dan negeri dalam terus mengekalkan
sifat berkecuali PKMS dalam dunia politik. Hal ini kerana hubungan yang
terjalin bukanlah semestinya harus berdasarkan bantuan kewangan semata-mata,
bahkan boleh dijalin menerusi pertukaran pendapat menerusi dialog antara dua
pihak. Walaupun hubungan PKMS dan kerajaan negeri Sarawak semakin membaik namun
ia sentiasa dipenuhi dengan sikap saling tidak mempercayai akibat sejarah
lampau ini. Hubungan dingin yang telah menjadi sejarah antara PKMS dan kerajaan
negeri Sarawak haruslah dilupakan ibarat kata pepatah ‘buang yang keruh ambil
yang jernih’ agar sebarang tenaga yang terbuang akibat persengketaan ini dapat
disalurkan kepada pembangunan masyarakat Melayu di Sarawak khususnya dan semua
kaum di Malaysia amnya.
Rujukan.
Agnes Tugong,(8 Julai 2012).Elak Jurang Perbezaan dalam
Melayu.Borneo Post [online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/07/08/elak-jurang-perbezaan-dalam-masyarakat-melayu/.[diakses pada 20 November 2012].
Agnes Tugong.(5 November 2012).PKMS Mohon Geran Bagi
Pembinaan Komplek.Borneo Post[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/11/05/pkms-mohon-geran-bagi-pembinaan-kompleks/.[diakses pada 20 November 2012].
Agnes Tugong.(4 November 2012).Appointment Shows
association Non-Political.Borneo Post[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/11/04/appointment-shows-association-non-political/.[diakses pada 23 November 2012].
Borneo Post.(15 ogos 2012).OUNA Sambut Baik Perlantikan
Pasukan Penguatkuasa PRU13[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/08/15/ouna-sambut-baik-pelantikan-pasukan-penguat-kuasa-pru13/.[diakses pada 23 November 2012].
Borneo Post.(13 Jun 2011).Bernas Atasi Secso B Juara
Futsal PKMS[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2011/06/13/bernas-atasi-sesco-b-juara-futsal-pkms/. [diakses pada 2
November 2012].
Hj.Mohd Hasbie Sulaiman.(1989)Perjuangan Anti-Cession
Sarawak : Peranan Utama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.[PDF] didapati
daripada : http://library.perdana.org.my/Digital_Content/NLM/Batch2/NL_B02_PDF-DVD01/15%20september%202005/M959.522M. [diakses pada 2
November 2012].