widgets

Tuesday, 3 December 2013

Politik sarawak

Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
Menurut Hj.Mohd.Zain B Abg. Ismail (Setiausaha Agung PKMS 2012-2015) hasil daripada temuduga,Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) ditubuhkan pada 13 Oktober 1939 semasa zaman Sir Charles Vyner Brooke. Pada asalnya persatuan ini telah dinamakan sebagai Persatuan Melayu Sarawak PMS dan setelah perang Dunia ke-2 tamat persatuan ini, dinamakan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Pengasas pertubuhan tersebut adalah Datuk Patinggi Hj. Abdillah bin Datuk Bandar Kassim yang dilantik sebagai penaung kepada persatuan tersebut pada tahun 1939-1946. Yang Dipertua pertama ialah Datuk Amar Abang Sulaiman  bin Abang Taha Shahdan. Manakala, Tuan Hj. Abdul Rahman bin Hj. Kassim dilantik sebagai Naib Yang Dipertua pada masa tersebut. Ekoran daripada itu, Yang Dipertua PKMS telah silih bertukar ganti mengikut peredaran masa sehingga sekarang. YDP sekarang telah disandang oleh Dr. Mohd. Abas Bin Hj. Abang yang merupakan YDP ke-8 yang mula menjalankan tugas dari tahun 2009 sehinggalah sekarang 2012.Persatuan ini merupakan  salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang tertua di Malaysia. Persatuan ini lebih tua daripada Parti politik Umno yang telah ditubuhkan pada tahun 1946. Majoriti ahli-ahli yang terdapat dalam persatuan ini adalah terdiri daripada kaum Melayu. Di Sarawak, persatuan ini telah mempunyai beberapa cawangan kecil iaitu Cawangan PKMS Petrajaya, Kuching, Betong, Samarahan, Miri dan sebagainya. Cawangan tersebut juga, merupakan cawangan yang paling aktif sehingga sekarang. Mengikut setiausaha agung menyatakan bahawa seramai 7000 orang ahli telah menyertai persatuan ini, yang mana ianya terdiri daripada kaum Melayu asli serta Melayu Melanau. Namun, ahli-ahli yang betul-betul aktif adalah hanya hamper 500 orang. Pada 10 oktober 1939 persatuan ini telah diluluskan sepenuhnya oleh kerajaan secara rasminya.Persatuan ini telah menyertai beberapa demokrasi awam di sekitar Kuching bagi membantah penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British. PKMS menentang penyerahan Sarawak kepada  kerajaan British yang pada masa tersebut telah ditadbir oleh Sir Charles Vyner Brooke. Persatuan ini menjadi badan pergerakkan utama Anti-Cession di Kuching dan merupakan platform orang Melayu dalam menyatakan pandangan, usul, masalah dan sebagainya. Sebelum penubuhan Malaysia, skop perjuangan persatuan ini adalah lebih menekankan kepada sosio ekonomi dan setelah tertubuhnya Malaysia, persatuan ini lebih cenderung kepada sosiopolitik. Persatuan ini juga telah dihadapkan ke mahkamah dalam perbicaraan kes percanggahan yang mana dikatakan terdapatnya dua penubuhan PKMS yang berasingan. Mereka menang dalam perbicaraan tersebut. Menurut setiausaha agung PKMS, Mohd. Zain bin Abang Ismail pernah wujudnya tempoh hubungan dingin antara PKMS dengan kerajaan negeri Sarawak. Hal ini kerana pernah beberapa orang tokoh dalam PKMS telah menyertai Tun Rahman Yaakub menentang Tan Sri Abdul Taib Mahmud di awal pemerintahannya. Antara beberapa nama dari PKMS yang disebut menyertai Tun Rahman Yaakub ialah Datuk Hj Wan Yusof yang merupakan YDP ke-7 Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) ketika itu.
            PKMS juga merupakan organisasi bukan politik yang mana ianya tiada kaitan dengan parti-parti politik yang ada sehingga sekarang, seperti UMNO,PBB,PKR,PAS dan sebagainya. Ideologi persatuan ini adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu yang berteraskan kemajuan diri (Self improvement) dan bukanya memupuk semangat permusuhan antara kaum. PKMS ini juga memperjuangkan agama islam yang juga prioriti utama dalam masyarakat Melayu sehingga kini di samping, memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Semangat nasionalisme dalam PKMS ini tidak akan mengatasi kepentingan dalam menegakkan syiar islam. Sepanjang penubuhan PKMS ini objektif perjuangan dan penubuhan mereka adalah sentiasa berubah mengikut kerelevan keadaan semasa. Hal ini adalah bagi memastikan bahawa PKMS sentiasa mendapat sokongan daripada Masyarakat melayu khususnya negeri Sarawak.Berikut merupakan tujuan serta  objektif penubuhan persatuan tersebut pada masa ini:-





Tujuan penubuhan :
*          Menganjurkan agar orang melayu bekerja keras membantu sesama sendiri membuka perniagaan dengan mengadakan perkongsian.
*          Menyedarkan orang melayu supaya memelihara hak-hak mereka.
*          Memupuk semangat kesedaran dan perpaduan dalam masyarakat Melayu.
*          Mengelakkan daripada masyarakat Melayu berpecah sesama sendiri serta menyatupadukan kaum Melayu khususnya di negeri Sarawak.


           Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak semasa pemerintahan oleh Charles vyner Brooke.
                        Penubuhan PKMS ini, pada mulanya mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuklah kerajaan Brooke sendiri pada tahun 1946. Penentangan itu berlaku disebabkan persatuan ini telah melakukan demonstrasi di sekitar kuching yang berkaitan dengan Anti-Cession. Pihak Charles Vyner Brooke terpaksa menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British pada 8 februari 1946, setelah didesak oleh kerajaan British pada masa itu.
            Faktor yang mendorong persatuan ini menentang penyerahan Sarawak kepada kerajaan British adalah kerana orang melayu tidak dibenarkan campur tangan dalam hal-hal yang berkaitan pentadbiran negeri Sarawak di samping Charles Vyner Brooke juga, membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan pemimpin-pemimpin melayu dan pemimpin kaum lain. Hal tersebut telah menyebabkan orang Melayu marah terhadap Charles Vyner Brooke. Ekoran daripada itu, pihak Charles Vyner Brooke bersama kerajaan British telah mempergiatkan usaha untuk memecahbelahkan perpaduan antara orang melayu dengan kaum lain seperti dayak,iban,melanau dan sebagainya. Usaha tersebut telah mendorong Charles Vyner Brooke dan kerajaan British meluluskan penubuhan Persatuan Melayu Muda “Young Malay Association” YMA bagi golongan muda. Persatuan ini lebih berpihak kepada Charles Vyner Brooke. Perkara yang mendorong penubuhan persatuan tersebut ialah ianya menyokong penyerahan Sarawak kepada British. Hal ini menjadikan platform Charles Vyner Brooke untuk mkenyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.
            Selain itu,setelah kerajaan British berkuasa dan menjalankan pemerintahan di Sarawak, mereka telah memburukkan pejuangan gerakan anti penyerahan Sarawak. Mereka menuduh perjuangan PKMS hanya untuk orang melayu Sarawak sahaja. Rentetan tentangan hebat daripada kerajaan British, PKMS ini mula menjadi lemah. British terus kekal berkuasa dan Sarawak menjadi tanah jajahan Sehingga tahun 1963.Walaubagaimana pun perjuangan mereka dapat diteruskan sehingga sekarang dan PKMS ini masih  berdiri teguh di samping pemimpin-pemimpin yang silih bertukar ganti sehinggalah kini.

Peranan dan Isu Semasa Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak pada masa kini.
Dalam usaha untuk membantu kearah pertumbuhan ekonomi dan demi menjaga kebajikan masyarakat Melayu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) telah memohon geran daripada kerajaan negeri bagi membina kompleks serbaguna yang baru. Pembinaan kompleks serbaguna ini dijangka dapat membantu golongan wanita menjalankan perusahaan kecil dan sederhana. Selain itu, pembinaan kompleks ini juga dapat membantu menyediakan kemudahan awam untuk orang ramai menjalankan aktiviti-aktiviti seperti majlis perkahwinan, kelas-kelas tambahan dan kelas fardhu ain. 
Rancangan pembinaan kompleks ini telah timbul setelah persatuan ini melihat berlaku masalah atau kekurangan kawasan untuk orang Melayu menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri kahwin, majlis keramaian, dan aktiviti keagamaan.Oleh itu, PKMS melihat terdapat keperluan dan kepentingan pembinaan kompleks tersebut untuk memudahkan aktiviti kemasyarakatan dijalankan. Tambahan lagi, PKMS mempunyai tanah yang dikatakan berusia 800 tahun dan seluas 1.06 ekar yang tidak digunakan.

 Menurut Mohd Zain lagi ketika ditemubual berhubung dengan pembinaan kompleks ini, pada awal rancangan pembinaan kompleks serbaguna ini, mereka terus memohon kebenaran daripada kerajaan pusat tanpa melalui kerajaan negeri. Hal ini disebabkan PKMS khuatir pihak kerajaan negeri masih lagi mempunyai pandangan negatif stereotype terhadap persatuan ini lantaran sejarah lama persatuan ini yang memiliki hubungan yang kurang baik dengan kerajaan negeri Sarawak. Walaupun hubungan antara pihak PKMS dan kerajaan negeri dilihat semakin baik, namun bimbang akan impak oleh hubungan lama yang dingin itu, akan menjejaskan proses pembinaan kompleks tersebut. Pihak PKMS mahu membuat permohonan terhadap kompleks itu terus kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat tanpa melalui kerajaan negeri Sarawak.
Selain itu, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) juga sering menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bukan sahaja untuk penyertaan kaum Melayu tetapi melibatkan pelbagai kaum dan etnik. Hal ini adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh PKMS untuk merapatkan hubungan antara kaum. Antara aktiviti yang dianjurkan oleh PKMS adalah pertandingan futsal, gotong-royong dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini juga dapat mendekatkan PKMS dengan golongan muda.
          
 Masalah ahli-ahli tidak aktif ini bukan sahaja melibatkan PKMS cawangan Petrajaya tetapi melibatkan semua cawangan PKMS di seluruh negeri. Masalah ahli-ahli yang tidak aktif ini menimbulkan kerisauan kepada pemimpin-pemimpin PKMS kerana apabila ahli-ahli tidak aktif dalam persatuan, suara-suara mereka sukar untuk didengari apabila menghadapi sesuatu masalah.     
Masalah ahli-ahli persatuan yang tidak aktif ini bukan sahaja memudaratkan ahli-ahli tersebut bahkan turut menjejaskan persatuan itu sendiri. Menurut Mohd Zain Abang Ismail, setiausaha agung PKMS, terdapat 12 cawangan PKMS di seluruh negeri Sarawak tetapi terdapat beberapa cawangan PKMS yang sudah tidak lagi beroperasi walaupun masih mempunyai lesen yang sah kerana ramai ahli-ahli persatuan yang tidak aktif dan mereka lebih menumpukan kepada hal-hal lain seperti perniagaan persendirian. Hal ini menyebabkan berlaku kesukaran untuk persatuan ini membela nasib orang Melayu di Sarawak terutamanya di cawangan-cawangan yang sudah tidak beroperasi lagi.          


 Pemimpin-pemimpin tertinggi PKMS melihat isu ini adalah salah satu masalah yang serius yang perlu ditangani dengan segera. Menurut Jaya Bujang Boji Satim, Pengerusi PKMS Petrajaya, “...PKMS Petrajaya sedang berusaha untuk mengaktifkan semula persatuan dan ahli agar bangsa Melayu dapat disatukan menjadi bangsa yang berdaulat serta contoh kepada bangsa lain” (The Borneo Post, 18/11/2012). Sekiranya masalah ini berterusan dan bilangan ahli aktif semakin berkurangan, PKMS tidak lagi dapat berfungsi sebagai platform untuk mendengar dan menyuarakan masalah-masalah orang Melayu. Bahkan, sekiranya masalah ini menjadi lebih serius pada masa akan datang, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak yang selama ini memperjuangkan hak dan masalah orang Melayu dan merupakan NGO tertua di Malaysia mungkin terpaksa dibubarkan. Oleh itu, masyarakat Melayu Sarawak secara umumnya dan ahli-ahli persatuan khasnya perlu sedar tentang kepentingan PKMS ini. Mereka juga perlu sedar bahawa suara atau masalah mereka sukar untuk didengari sekiranya mereka bergerak bersendirian tanpa persatuan.

Pandangan, masalah, dan cadangan penambahbaikkan  kumpulan terhadap Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak
                            Secara umumnya apa yang dapat kami simpulkan hasil daripada kajian dan perbincangan yang kami jalankan secara mendalam berkenaan dengan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS),  adalah persatuan ini merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang sangat komited dalam membangunkan dan menjaga kebajikan masyarakat Melayu di Sarawak. Pelbagai projek yang berteraskan kemasyarakatan dan pembangunan masyarakat Melayu khususnya di negeri Sarawak telah dijalankan oleh PKMS seperti bengkel pelajar untuk UPSR, pertandingan futsal dan pertandingan nasyid.
                       Selain itu, PKMS juga dapat dilihat merupakan sebuah persatuan NGO’s yang sentiasa berusaha bersikap mandiri dan tidak mengharapkan bantuan daripada pihak lain. Hal ini terbukti dengan fakta bahawa sepanjang penubuhannya sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO’s), PKMS tidak pernah menerima walau  satu  sen pun bantuan kewangan sama ada daripada kerajaan negeri waima kerajaan persekutuan. Tindakan ini bukanlah  bermakna PKMS bersikap angkuh atau sombong, akan tetapi hal ini bertujuan bagi memastikan  kedudukan neutral PKMS dalam politik tempatan dan  PKMS juga tidak mahu tindakan mereka yang menerima bantuan daripada mana-mana pihak akan menyebabkan  mereka terhutang budi dan seterusnya menjadi terikat dengan mana-mana pihak yang memberikan bantuan tersebut, yang seterusnya  mengharapkan PKMS membalas pula jasa yang telah mereka berikan. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa PKMS juga sebuah NGO’s yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan mereka sebagai sebuah badan bukan kerajaan.
                         Disamping itu,  PKMS juga sedar akan status mereka sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO’s) yang berpegang teguh kepada prinsip untuk berkhidmat tanpa mencari keuntungan dan kekayaan akan memerlukan mereka untuk bersedia mengorbankan masa, harta dan tenaga dalam memastikan matlamat mereka untuk membantu dan menjaga kebajikan masyarakat Melayu terlaksana. Dalam hal ini, kami dapati kebanyakan ahli majlis tertinggi yang mengisi kedudukan atasan parti melalui pemilihan yang diadakan pada baru-baru ini adalah terdiri daripada golongan profesional seperti bekas pendidik dan doktor yang sememangnya bersedia berkorban demi membantu  membangunkan  masyarakat.
                           Hasil daripada temubual yang kami jalankan, kami juga dapati persatuan ini memiliki masa hadapan yang cerah dalam memastikan kelangsungan dan survivalnya sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang terutama di Sarawak terpelihara.  Menurut setiusaha agung PKMS Hj Mohd. Zain bin Abang Ismail, pemilihan parti yang dijalankan pada baru-baru ini juga berjaya memilih 40% muka-muka baru yang terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah yang boleh dikategorikan sebagai belia di dalam ahli majlis tertingginya.  Perkembangan yang sihat ini bukan sahaja dapat memastikan PKMS memiliki calon-calon pemimpin pelapis pada masa hadapan yang boleh dilatih untuk mengambil alih tampuk pentadbiran PKMS bahkan ini juga menjadi satu indikator bahawa golongan muda masyarakat Melayu masih melihat relevannya PKMS sebagai platform untuk mereka menyuarakan pendapat dari akar umbi.
                               Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) juga mengambil sikap berkecuali dalam  politik. Hal ini adalah jelas menerusi kenyataan PKMS ketika ditemubual bahawa mereka sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah selagi mana kerajaan tersebut adalah sah dari segi undang-undang, berusaha membela nasib rakyat dan menyumbang ke arah pembangunan  masyarakat  Melayu terutamanya di Sarawak. Tambah Hj Mohd. Zain, setiausaha agung PKMS,  PKMS sentiasa menyokong dan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan  oleh kerajaan samada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri.  PKMS menurut beliau tidak menjauhkan diri dan menentang mana-mana pemerintah akan tetapi sebarang tindakan PKMS berkaitan dengan dunia politik adalah dilakukan dengan penuh berhati-hati dan  menerusi penelitian yang mendalam. Hal ini adalah demi menjamin sifat neutral dan berkecuali PKMS dalam dunia politik agar sebarang tindakan yang dilakukan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
                          Kelemahan yang paling ketara bagi persatuan ini dapat dilihat dengan masalah keaktifan ahlinya. Kebanyakan ahli PKMS yang telah berusia kini tidak lagi aktif bersama PKMS dalam menjalankan aktiviti. Justeru, hal ini mengakibatkan timbulnya persoalan sama ada bilangan ahli PKMS adalah sama seperti yang dijangka iaitu 7000 orang. Masalah keaktifan ahli ini telah mengakibatkan beberapa buah cawangan PKMS tidak dapat berfungsi dan dijalankan dengan baik. Menurut Setiausaha Agung PKMS, Hj Mohd. Zain bin Abang Ismail ketika ditemubual, cawangan-cawangan PKMS tersebut telahpun memiliki lesen untuk menjalankan aktiviti persatuan, namun masalah ahlinya yang tidak aktif walaupun berdaftar telah menyebabkan cawangan-cawangan tersebut gagal beroperasi dengan baik.
                 
                        Selain itu, kurangnya pendedahan media tempatan terhadap aktiviti anjuran PKMS bersama masyarakat setempat menjadi antara faktor utama kelemahan dalam publisiti yang dihadapi persatuan ini. Hal ini mengakibatkan terdapatnya segelintir warga tempatan khususnya masyarakat Melayu Sarawak yang tidak mengetahui kewujudan persatuan ini. Ketika ingin melakukan temubual bersama PKMS, penemubual telah bertanyakan lokasi bangunan utama PKMS kepada beberapa penduduk Melayu di sekitar Waterfront, Kuching, namun, ramai di antara mereka menyatakan tidak mengetahui lokasi sebenar bangunan utama PKMS, bahkan ada yang mengatakan tidak pernah mendengar nama persatuan tersebut walhal PKMS telah bertapak di Sarawak selama 73 tahun. Hal ini amatlah perlu ditikberatkan oleh PKMS dalam memastikan dirinya berjaya dalam menjaga kebajikan kaum Melayu Sarawak serta mampu menjadi platform utama dalam menyuarakan suara masyarakat Melayu Sarawak dan seterusnya menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang disegani dan dihormati di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya.
                    Selain itu, kurangnya penulisan  bahan  ilmiah seperti buku dan jurnal yang berkaitan dengan persatuan ini oleh para sarjana dan  ilmuan tempatan  menimbulkan kesukaran bagi kami dalam menjalankan kajian awal serta memperoleh rujukan dalam menyiapkan tugasan berhubung persatuan ini. Sepanjang kami melakukan kajian terhadap persatuan  ini, kami dapati bahawa baru sebuah buku sahaja yang diterbitkan berkenaan persatuan ini iaitu Perjuangan Anti Cession Sarawak: Peranan Utama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak oleh Haji Mohd Hasbie Sulaiman..  Justeru, dalam memperoleh tambahan maklumat berkenaan persatuan ini, kami juga bergantung dengan artikel-artikel suratkhabar tempatan Sarawak secara online yang mana ternyata amat terhad bilangannya. Kami juga amat bergantung kepada temubual bersama setiausaha agung PKMS dalam mendapatkan maklumat tambahan.
                         
                  Kelemahan lain yang terdapat pada persatuan ini adalah masalah kekurangan kakitangan yang mengelolakan bangunan utama persatuan ini. Ketika kami melawat ke bangunan utama PKMS, apa yang kami dapati hanya terdapat seorang sahaja kakitangan yang bertugas dan bertanggungjawab mengelolakan pejabat PKMS pada hari tersebut. Masalah kekurangan kakitangan ini berkemungkinan besar disebabkan oleh tugasan yang tidak bersepadanan dengan jumlah kakitangan pejabat tersebut. Hal ini kerana apabila kakitangan terpaksa melakukan banyak urusan luar yang memerlukan mereka ke cawangan atau aktiviti lain telah mengakibatkan jumlah kakitangan yang tinggal di bangunan utama adalah sedikit sekaligus menimbulkan kesukaran sekiranya terdapat lawatan daripada pelbagai pihak atau urusan segera yang memerlukan kepada kecekapan kakitangan untuk mengelolakannya. Bangunan utama persatuan ini juga menghadapi kekurangan tempat meletak kenderaan. Kedudukan bangunan utamanya yang terletak berhadapan dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), dan berkongsi dengan pelbagai kedai makanan telah mengakibatkan  pelawat yang ingin melawat bangunan utama persatuan ini terpaksa bersaing dengan  pelajar dan pelanggan kedai makan untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan.
                         
                        Di samping itu, persatuan  ini juga dilihat banyak bergantung kepada sejarah mereka yang sebagai sebuah NGO tertua di Malaysia.  Persatuan ini juga sangat berbangga dengan  perjuangan mereka yang menentang penyerahan Sarawak oleh Rajah Charles Vyner Brooke kepada kerajaan British. Hal ini dapat dilihat apabila setiausaha agung  kelihatan hanya bersedia dengan bahan-bahan berkenaan perjuangan PKMS dalam anti penyerahan tersebut. Beliau juga kelihatan agar terkejut dengan  soalan yang kami kemukakan kepada beliau. Perkara ini berkemungkinan besar adalah diakibatkan dan disumbangkan oleh majoriti pengunjung dan  pelawat lebih banyak bertanyakan berkenaan dengan sejarah anti-penyerahan tersebut. Dalam hal ini kami berpendapat berbangga dengan sejarah lampau adalah baik namun janganlah sampai ia membantutkan usaha untuk mencapai sesuatu yang lebih bermakna pada masa akan datang.
                            Dalam menangani permasalahan dan  kekurangan PKMS sebagai sebuah badan bukan kerajaan  NGO, PKMS haruslah berusaha mengadaptasikan dirinya dengan peredaran zaman supaya ia sentiasa dilihat relevan oleh generasi muda pada masa kini. Dalam hal ini, penggunaan wadah dan medium teknologi moden seperti media sosial adalah amat digalakkan. Penggunaan media sosial seperti facebook, twitter, dan blog adalah amat berguna dalam membantu meningkatkan imej PKMS dikalangan generasi muda Melayu di Sarawak yang semakin terdedah dengan perkembangan teknologi ini. Selain itu, penggunaan media sosial ini juga dapat menampung kekurangan yang ditinggalkan oleh media tempatan Sarawak dan Malaysia dalam mempromosikan PKMS. Berdasarkan pengamatan kami, PKMS memiliki blog dan facebook akan tetapi ia jarang dikemaskini untuk memberikan maklumat terkini kepada ahli PKMS. Justeru, dengan mengemaskini dan menaiktaraf media sosial ini akan dapat memebantu mempromosikan dan memberikan publisiti yang baik kepada PKMS dan seterusnya menarik minat keahlian daripada generasi muda terutamanya pelajar sekolah.
                               Kumpulan kami juga mencadangkan supaya PKMS berusaha mencari, merekodkan,menyusun dan menerbitkan lebih banyak bahan ilmiah seperti buku, jurnal dan majalah berkaitan PKMS sepanjang tempoh selepas kemerdekaan dan penyertaan  Sarawak bersama Sabah dan Malaya membentuk Malaysia. Melalui ini, PKMS boleh mengadakan kerjasama dengan  institut pengajian tinggi seperti UNIMAS dalam menghasilkan bahan-bahan ilmiah ini. Hal ini kerana institut pengajian tinggi seperti UNIMAS memiliki tenaga profesional yang mahir dan pakar dalam menghasilkan bahan ilmiah. Kerjasama boleh dilakukan dengan Jabatan Kajian Politik dan Pemerintahan, Fakulti Sains Sosial yang telah banyak menghasilkan karya dan bahan ilmiah seperti sejarah, pengaruh dan penglibatan PKMS dalam pembangunan masyarakat Melayu atau politik di negeri Sarawak.
                          PKMS juga boleh meneruskan dan terus mengukuhkan hubungan baik yang terjalin antara PKMS dengan kerajaan pusat dan negeri dalam terus mengekalkan sifat berkecuali PKMS dalam dunia politik. Hal ini kerana hubungan yang terjalin bukanlah semestinya harus berdasarkan bantuan kewangan semata-mata, bahkan boleh dijalin menerusi pertukaran pendapat menerusi dialog antara dua pihak. Walaupun hubungan PKMS dan kerajaan negeri Sarawak semakin membaik namun ia sentiasa dipenuhi dengan sikap saling tidak mempercayai akibat sejarah lampau ini. Hubungan dingin yang telah menjadi sejarah antara PKMS dan kerajaan negeri Sarawak haruslah dilupakan ibarat kata pepatah ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ agar sebarang tenaga yang terbuang akibat persengketaan ini dapat disalurkan kepada pembangunan masyarakat Melayu di Sarawak khususnya dan semua kaum di Malaysia amnya.



Rujukan.

Agnes Tugong,(8 Julai 2012).Elak Jurang Perbezaan dalam Melayu.Borneo Post [online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/07/08/elak-jurang-perbezaan-dalam-masyarakat-melayu/.[diakses pada 20 November 2012].

Agnes Tugong.(5 November 2012).PKMS Mohon Geran Bagi Pembinaan Komplek.Borneo Post[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/11/05/pkms-mohon-geran-bagi-pembinaan-kompleks/.[diakses pada 20 November 2012].

Agnes Tugong.(4 November 2012).Appointment Shows association Non-Political.Borneo Post[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/11/04/appointment-shows-association-non-political/.[diakses pada 23 November 2012].

Borneo Post.(15 ogos 2012).OUNA Sambut Baik Perlantikan Pasukan Penguatkuasa PRU13[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2012/08/15/ouna-sambut-baik-pelantikan-pasukan-penguat-kuasa-pru13/.[diakses pada 23 November 2012].

Borneo Post.(13 Jun 2011).Bernas Atasi Secso B Juara Futsal PKMS[online]didapati daripada: http://www.theborneopost.com/2011/06/13/bernas-atasi-sesco-b-juara-futsal-pkms/. [diakses pada 2 November 2012].

Hj.Mohd Hasbie Sulaiman.(1989)Perjuangan Anti-Cession Sarawak : Peranan Utama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.[PDF] didapati daripada : http://library.perdana.org.my/Digital_Content/NLM/Batch2/NL_B02_PDF-DVD01/15%20september%202005/M959.522M. [diakses pada 2 November 2012].